Wednesday, May 30, 2012
HIDUP
Wednesday, March 14, 2012
Cerpen: Belon-Belon Dihatiku!

Suasana bising di funfair itu memang tidak dapat dibendung lagi. Orang berlari berkejaran di sana sini. Ada yang menjerit. Ada yang ketawa. Ada yang bersembang. Yang menangis pun ada!
Tapi bagi Luna, keadaan ini sudah terlalu biasa baginya. Sudah ibarat isi dengan kuku yang tak boleh dipisahkan. Kalau dipisahkan juga, maka binasalah jadinya!
Bagi Luna, di sinilah segala-galanya. Di sinilah dunianya. Di sinilah kegembiraannya. Di sinilah kesedihannya. Di sinilah segalanya terjadi. Dan di sini jugalah segalanya bermula...
“Mummy, mummy, Boboi nak belon!” jerit seorang kanak-kanak lelaki kepada ibunya.
Suara seorang kanak-kanak lelaki mematikan lamunan Luna. Dia tersenyum manis memandang budak lelaki yang separas pahanya itu. Luna duduk meninggung di hadapan budak lelaki itu agar ketinggian mereka sama.
“Boboi nak belon warna apa?” tanya Luna seraya tersenyum.
“Boboi nak belon yang warna merah tu. Kawan Boboi cakap kan, orang yang ada warna merah tu kuat ooo!” ujar kanak-kanak kecil itu dengan mata yang membulat.
Liya tergelak kecil. “Jadi Boboi ni kuat la ye?” tanya Luna sambil tangannya merungkaikan ikatan tali belon berwarna merah pada tiang.
“Mestilah!” kata Boboi bersemangat. Luna tersenyum lagi. Dia menyerahkan belon berwarna merah itu kepada Boboi.
“Berapa harga ni, dik?” tanya ibu kepada budak lelaki tadi.
“Dua ringgit kak.”
Wanita itu menyerahkan sekeping not berwarna hijau kepada Luna. Luna mengambil wang itu lalu menyerahkan tiga keping not biru sebagai ganti. Seketika kemudian, wajah wanita itu bersama anaknya hilang dari pandangannya.
Mata Luna meliar memandang sekeliling. Pada hari cuti umum seperti ini, memang selalunya funfair akan sesak dengan manusia yang dua kali ganda lebih ramai dari hari biasa!
Suara budak kecil menangis menyentakkan lamunan Luna. Sayup-sayup suara itu kedengaran di telinganya. Suara tangisan itu agak tenggelam dengan suara manusia-manusia di sekelilingnya.
Mata Luna terpaku melihat seorang budak perempuan menangis di sebalik tiang. Wajahnya jelas kelihatan ketakutan dengan air mata yang berlinangan di pipi. Luna segera melangkah ke arah kanak-kanak kecil itu. Hatinya tersentuh melihat air mata budak perempuan itu masih mengalir.
“Kenapa ni sayang?” tanya Luna sambil melutut agar ketinggian mereka sama.
Budak kecil itu hanya menggeleng. Dia menjauhkan diri dari Luna. Takut mungkin.
“Jangan menangis lagi sayang. Mana ibu? Ayah ke?” tanya Luna lagi dengan nada yang perlahan. Kedua-dua belah bahu budak perempuan itu dipegang.
Budak kecil itu menggeleng lagi.
Luna menggaru kepalanya. Pada siapa dia mahu meminta bantuan?
“Ikut kakak dulu ye. Nanti kakak tolong cari ibu dengan ayah, okey?” pujuk Luna lembut.
“Tak nak...” rengek kanak-kanak kecil itu dengan tangisan.
Luna buntu. Apa yang aku nak buat ni? Nak tinggal dia keseorangan, ahh, tak mungkin! Nak dijaga, nanti aku pulak yang susah. Hati Luna berbelah bahagi.
Akhirnya Luna melangkah pergi dari situ meninggalkan kanak-kanak kecil yang masih menangis itu. Tetapi hanya seketika kerana dia kembali bersama dua ikat belon berwarna merah jambu dan biru di tangannya.
“Haa, nak belon tak?” pancing Luna cuba untuk menarik minat budak perempuan itu.
Seperti yang sudah dijangka, kanak-kanak kecil itu berhenti menangis tatkala ternampak dua ikat belon di tangan Luna. Perlahan-lahan kanak-kanak kecil itu mengangguk. Luna menyerahkan belon itu kepada budak perempuan itu.
“Nama siapa?” tanya Luna. Tangan kecil itu dicapai dan dipimpin ke tempat dimana dia menjual belon. Kanak-kanak kecil itu hanya menurut.
“Isabella,” jawab kanak-kanak itu perlahan.
“Kakak panggil Bella boleh tak?”
Isabella mengangguk sambil tangannya leka bermain dengan belon. Kadangkala tangan kecil itu menarik-narik tali-tali belon yang terikat pada tiang agar belon-belon yang terawang-awangan di udara itu dapat dicapai tangan kecilnya.
“Bella datang dengan siapa sayang? Ibu?” tanya Luna meminta kepastian. Bagaimana dia mahu mencari tuan punya anak jikalau dia sendiri tidak tahu kanak-kanak ini datang dengan siapa.
Isabella menggeleng.
“Ayah?”
Isabella menggeleng lagi.
Dahi Luna berkerut. Dia menggaru kepalanya yang tidak gatal. “Habis tu datang dengan siapa?” Takkan la budak sekecil ini boleh datang ke funfair seorang diri. Mustahil!
“Datang dengan Papa Is,” jawab Isabella dengan suara yang halus.
Luna menghela nafas lega. Datang dengan papa rupanya. Mungkin Isabella tidak tahu apa itu ayah kerana dia menggelar ayahnya sebagai papa.
“Nanti kakak tolong cari papa Bella ye,” ujar Luna.
“Isabella!!!”
Luna tersentak. Tangannya yang sedang mengemas barangan terhenti apabila terdengar suara seseorang memanggil nama kanak-kanak kecil yang sekarang ini berada dengannya. Luna berpaling ke arah suara itu. Seorang lelaki tinggi lampai melangkah ke arahnya dengan muka yang bengis. Tangan kecil Isabella yang berada dalam genggamannya direntap kasar oleh lelaki itu.
“Berapa kali Papa Is dah cakap, jangan merayau! Susah sangat ke nak faham hah? Kalau hilang kena culik nanti siapa yang susah? Bella ni memang menyusahkan Papa Is betul! Papa Is bawak Bella ke sini bukan untuk menyusahkan Papa Is! Bila Papa Is tak bawak jalan, Bella merajuk. Bila Papa Is bawak jalan, Bella buat hal macam ni. Mulai hari ni, Papa Is takkan bawak Bella jalan-jalan lagi! Faham tak?” Bertalu-talu lelaki itu menjerkah anak kecil yang masih tidak tahu apa-apa itu. Isabella mula menangis sekali lagi. Tangan kecil Isabella sudah merah akibat digenggam lelaki itu. Manusia-manusia di sekeliling mula menumpukan perhatian terhadap mereka.
“Encik, jangan buat Bella macam tu. Kesian dia,” ujar Luna tidak tahan melihat Isabella dihukum begitu rupa.
Lelaki itu melipat maut ke arah Luna. Matanya tajam menikam anak mata Luna. Mukanya masih tegang dan sudah kemerah-merahan akibat menahan marah. “Awak ingat awak siapa nak tegur saya? Saya yang jaga dia dari kecil, jadi saya ada hak nak buat apa pun! Awak tu orang luar, so just stay away from us!” jerkah lelaki itu dengan sombong.
Luna terkedu. Berasap kepalanya mendengar jawapan itu. “Memang la saya ni tak ada hak nak masuk campur hal encik, tapi encik kena ingat, orang yang encik tengah marah-marah ni anak encik tau! Tak boleh ke kalau encik cakap baik-baik? Perlu ke encik jerkah-jerkah dia macam tu? Dia ni budak-budak lagi tau encik! Encik ni sebagai papa dia, mesti la tau cara nak handle budak kecik. Takkan itu pun nak saya ajar?” balas Luna dengan berani. Tangan Isabella direntap dari tangan lelaki itu. Dia mengusap kepala Isabella yang masih menangis teresak-esak itu.
Kedengaran lelaki itu mendengus kasar. “Isabella, balik!” Lelaki itu ingin menarik tangan Isabella tetapi dengan pantas Isabella terus memeluk paha Luna dengan erat. Air matanya makin laju menuruni pipi.
“Kakak... Bella takut,” ujar Isabella teresak-esak. Dia menyembamkan mukanya pada paha Luna.
Luna mengusap lembut rambut kepala Isabella. Tersentuh hatinya melihat ketakutan Isabella. “Jangan takut sayang...”
“Isabella!” Lelaki itu menjerit lagi.
“Kalau encik cuba nak ambil Bella, saya telefon polis.” Entah kenapa ayat itu yang terbit di bibir Luna. Dia terasa seperti ingin menghantukkan kepalanya ke dinding sekarang juga. Dia sedar, dia tidak ada hak ke atas Isabella kalau nak dibandingkan dengan lelaki di hadapannya ini.
Lelaki itu tergelak kecil. “Awak ingat awak siapa?”
Luna menelan air liur. “Saya boleh buat report polis yang encik ni mendera Bella.”
Lelaki itu melangkah mendekati Luna. “I can make sure you’re gonna rot in the jail.” Jari telunjuk lelaki itu menunding tepat ke arah wajah Luna.
Wajah Luna jelas menunjukkan bahawa dia sedang marah. “Kurang ajar!!!”
Pang! Lima jari Luna melekat di pipi kiri lelaki itu. Lelaki itu memandang Luna dengan riak tidak percaya. Berombak dadanya menahan marah kepada gadis di hadapannya ini. Lelaki itu mengangkat tangannya ini membalas tamparan gadis itu tetapi Isabella cepat-cepat memeluk lutut lelaki itu.
“Papa Is, jangan la gaduh dengan kakak.” Isabella menangis teresak-esak di lutut lelaki itu. “Bella janji Bella takkan menyusahkan Papa Is lagi.”
Lelaki itu terus menjatuhkan tangannya. Matanya tajam menikam mata Luna. “Antara kita belum selesai.”
Luna pura-pura tidak dengar. Dia meninggung di hadapan Isabella dan mengeluarkan sebatang pen dari dalam kocek jean. Tangannya menulis sesuatu di tapak tangan kecil milik Isabella.
“Kalau Bella takut dengan papa garang ni, Bella terus telefon kakak tau.” Sempat lagi Luna mengingatkan Isabella. Sebelum Isabella melangkah pergi, Luna sempat mengucup dahi Isabella.
Isabella mengangguk laju. Lelaki itu terus menarik tangan Isabella supaya menjauhi Luna. Luna melambaikan tangannya ke arah Isabella dengan air mata yang menitis di pipi.
***
Iskandar melangkah sebal ke arah biliknya. Dia menghenyakkan punggung di atas kerusi empuk itu. Tali leher yang mencengkam batang leher dirungkai dengan kasar. Iskandar merengus kasar. Keperitan ditampar oleh gadis itu masih dapat dia rasa sehingga ke hari ini. Dan sebab itu jugalah yang membuatkan dia berdendam sehingga sekarang!
“Encik Is, ada dua orang lelaki nak jumpa encik sekarang. Katanya encik ada panggil mereka.”
Suara yang berbunyi di interkom mematikan lamunan Iskandar. “Suruh dia orang masuk.”
Tidak sampai seminit, dua orang lelaki sudah berada di dalam bilik Iskandar. Mereka berdiri di hadapan Iskandar menunggu bicara Iskandar.
“Macam mana? Apa yang korang dah dapat?” tanya Iskandar.
“Tak banyak yang boleh kita orang dapat bos. Perempuan tu memang tak ada kawan. Saya dah tanya sorang-sorang dekat funfair tu tapi takde sorang pun tahu asal usul dia. Yang kami dapat pun sikit je maklumat bos,” jelas salah seorang dari lelaki yang berdiri itu.
“Apa yang korang dapat?”
“Yang kami tahu, nama dia Luna Batrisya. Dia tak ada mak bapak dan hanya tinggal di rumah anak yatim piatu. Waktu kecil dia dijumpai di funfair tu jugak. Umur dua puluh tiga tahun. Dan dia hanya belajar takat SPM sahaja.”
Iskandar tersenyum sinis. “Dasar anak luar nikah,” gumamnya perlahan.
“Bab anak luar nikah tu saya tak tahu bos.”
Iskandar tersenyum sinis lagi. “Jumpa dekat funfair and you expect dia bukan anak luar nikah?”
Kedua-dua lelaki itu menjungkitkan bahu. “So, sekarang ni bos nak kami buat apa?”
Iskandar mengetuk meja dengan jari-jemarinya. “Korang buat apa-apa je yang akan buat perempuan tu takut.” Iskandar ketawa kecil.
Lelaki-lelaki itu tersenyum nakal. “Apa-apa je bos?” tanya salah seorang dari mereka.
Iskandar menjeling orang upahannya. “Korang gertak je. Tapi jangan sentuh dia.” Iskandar bersuara keras.
“Ala bos, setakat gertak apa barang. At least bagilah kita orang laukkan dia.”
“Aku tak nak kau orang sentuh dia walaupun sikit.”
Salah seorang dari orang upahan itu tersengih. “Rilek bos. Kita orang faham bos nak laukkan dia dulu kan.”
Iskandar merengus. “Dah la. Korang boleh keluar. Aku nak korang settlekan benda ni hari ni jugak. Nanti aku call korang malam ni. Aku nak tengok kerja korang macam mana.”
“Okey bos. Tak ada hal punya. Bos roger je kita orang nanti kita orang sampai.”
Iskandar mengangguk. Kedua-dua orang upahannya terus meninggalkan bilik kerjanya. Iskandar menyandarkan badannya pada kerusi empuk. Luna Batrisya. Kau dah main dengan api. Sekarang kau sendiri yang membakar diri.
***
Luna mengemas tempat jualannya. Alhamdulillah, hari ini jualannya laku dua kali ganda dari hari biasa. Selesai mengemas, Luna melangkah keluar dari kawasan funfair itu. Kakinya melangkah perlahan ke arah perhentian bas yang terletak kira-kira 500 meter dari kawasan funfair.
Sambil melangkah, kepala Luna mendongak memandang langit. Cuba mencari bintang yang selalunya berterabur di dada langit. Tetapi malam ini bintang-bintang di langit makin berkurangan pula pada pandangan Luna. Hari mahu hujan agaknya.
Walaupun jam sudah menginjak ke angka sepuluh, Luna tidak gentar untuk berjalan kaki berseorangan menuju ke perhentian bas yang terletak agak jauh dari kawasan funfair. Pengalaman telah mengajarnya untuk hidup berdikari dan tidak bergantung kepada orang lain.
Tetapi entah kenapa pada malam ini, Luna berasa tidak sedap hati. Dia seperti terasa ada yang mengekorinya dari belakang. Untuk berpaling, dia tidak berani. Hanya matanya sahaja yang melirik ke kiri dan ke kanan untuk memastikan tidak ada orang yang mengekorinya.
Tiba-tiba tangan Luna dicapai dari belakang. Kali ini Luna benar-benar takut. Menggeletar seluruh badannya melihat dua orang lelaki yang mencapai tangannya dengan senyuman yang dia tidak mengerti. Belum sempat dia hendak menjerit, dua orang lelaki itu lebih pantas menekup mulutnya dan terus menarik Luna ke dalam semak. Luna menangis teresak-esak. Dia tidak putus-putus berdoa dalam hati.
“Bos, line clear,” ujar salah seorang dari lelaki itu.
Dari dalam semak itu, masuk lagi seorang lelaki. Mungkin bos yang dipanggil lelaki durjana tadi, tebak hati Luna. Mata Luna yang berair menyukarkannya melihat siapakah gerangan lelaki itu. Pandangannya kabur sahaja.
Lelaki itu memberi isyarat kepada orang upahannya agar melepaskan mulut Luna.
“Luna Batrisya...” Lelaki itu menyebut namanya. Pipi Luna dicengkam kuat.
Mata Luna terbeliak. Baru dia perasan wajah lelaki yang menjerkahnya tempoh hari. Ya Allah, sampai macam ni sekalikah dendamnya terhadapku?
“Apa awak nak?!” jerit Luna dengan tangisan yang masih beranak di pipi.
Iskandar terus menampar pipi Luna. “Kau jerit lagi, aku tampar lagi kuat dari ni!” gertak Iskandar.
Luna menangis lagi. Dapat dia rasa ada cecair panas yang mengalir di bibirnya. Tamparan ‘perlahan’ bagi lelaki itu sudah cukup untuk membuatkan pipinya terasa perit!
“Apa salah saya?” tanya Luna perlahan dengan tangisan yang berlagu. Tiada ruang buatnya melarikan diri. Tangannya telah dipegang kuat oleh kedua-dua orang upahan Iskandar. Hujan juga sudah turun rintik-rintik. Mungkin turut menangisi nasibnya.
Iskandar tergelak kecil. “Apa salah kau? Kau tanya apa salah kau?” tanya Iskandar sinis.
Pang! Satu lagi tamparan Iskandar hinggap di pipi Luna sehingga wajah Luna terteleng.
“Itu salah kau pada aku. Seumur hidup aku, tak pernah ada lagi orang yang pernah tampar aku, kau tau tak?” Rambut ikal mayang Luna ditarik kasar. Tangisan Luna tidak diendahkan. Pengalaman lama telah membuatkan dia kebal dari rasa simpati terhadap wanita! Pengalaman lama jugalah menyebabkan dia kejam terhadap wanita!
“Kau tau tak, aku benci bila ada orang suka masuk campur urusan aku? Aku benci bila orang luar sama sibuk tentang hal aku! Kau tau tak?!” Rambut Luna ditarik lagi.
Kedua-dua orang upahan Iskandar ketawa. “Bos laukkan je dia malam ni. Lepas tu kita gilir-gilir pulak. Daging muda ni bos,” ujarnya dengan senyuman nakal.
Makin kuat tangisan Luna. “Tolong... tolong jangan apa-apakan saya. Saya rela dipukul. Saya rela ditampar. Tapi tolong jangan sentuh saya. Tolong... saya merayu.”
Iskandar ketawa jahat. Dia mendekatkan mukanya ke arah muka Luna. “Kalau aku nak jugak, apa kau boleh buat?” Dia ketawa lagi.
Luna memalingkan mukanya. Benci dia mahu melihat wajah itu. Syaitan bertopengkan manusia! “Tolong... saya merayu. Jangan apa-apakan saya.” Walau apa pun yang terjadi, Luna tetap akan mempertahankan maruah dirinya walaupun nyawa menjadi ganti!
Iskandar buat tidak peduli. Dia menggeselkan hidungnya ke pipi mulus Luna. Orang-orang upahannya ketawa melihat ketakutan Luna yang makin ketara.
“Tolong encik... Saya minta maaf pasal hari tu. Tolong jangan hukum saya macam ni. Ya Allah, kau selamatkanlah aku. Kau makbulkanlah doa orang yang teraniaya sepertiku Ya Allah,” rayu Luna teresak-esak.
Iskandar menekup mulut Luna. Pujuk rayu Luna dibuat tidak endah. Dia menggeselkan hidungnya pada leher jinjang Luna pula. Pinggang Luna dirangkul erat. Tangisan Luna makin menggila. Ya Allah, kau selamatkanlah aku Ya Allah.
Tiba-tiba telefon bimbit Luna berbunyi. Perbuatan Iskandar terhenti. Dia tersedar dan meraup mukanya. Niatnya hanyalah untuk menggertak Luna. Bukan hendak mengapa-apakan gadis itu.
Deringan telefon bimbit itu terhenti. Tidak sampai seminit telefon Luna berbunyi lagi.
“Kau cari handphone dia,” arah Iskandar kepada salah seorang orang upahannya.
Lelaki itu mencapai beg sandang Luna. Segala isi di dalam beg ditunggang ke tanah. Telefon bimbit Nokia jenis lama itu diserahkan kepada Iskandar.
Iskandar melihat skrin telefon bimbit Luna. Dahinya berkerut melihat nama yang terpampang di skrin telefon. Isabella. Tanpa berfikir, Iskandar terus menekan butang hijau. Telefon bimbit itu diletakkan di telinga.
“Assalamualaikum kakak Luna. Kakak sihat? Kenapa kakak dah lama tak telefon Bella? Kakak tak rindu dekat Bella ya?” Bella bersuara di hujung talian.
Iskandar terdiam. Matanya memandang Luna yang masih menangis dengan tangan yang dipengang erat orang upahannya. Entah kenapa, laju sahaja tangan Iskandar meletakkan telefon bimbit itu ke telinga Luna.
“Hello. Kakak Luna ada ke tak tu?”
Luna menahan tangisan. Dia tidak mahu Isabella mendengar tangisannya. Iskandar sudah memberi isyarat agar tidak mendedahkan rahsia.
“Kakak ada dekat sini sayang,” jawab Luna tersekat-sekat.
“Kenapa suara kakak lain? Kakak menangis ke?” Isabella ternyata dapat mengecam suaranya yang lain.
“Tak, kakak cuma tak sihat je. Nanti kakak telefon Bella balik ye. Kakak nak rehat. Assalamualaikum.”
Iskandar terus mematikan talian. Telefon bimbit itu dicampak ke tanah. Dia memberi isyarat kepada orang upahannya agar melepaskan tangan Luna. Sebaik sahaja tangan Luna dilepaskan, lututnya menjad lemah dan Luna terus terduduk di atas tanah yang sudah berlecak terkena air hujan.
“Jangan bagi tahu orang lain pasal kes ni. Kalau tak, aku akan lakukan apa yang tergendala tadi.” Tegas suara Iskandar memberi amaran.
“Kenapa buat saya macam ni?” tanya Luna dengan bahu yang terhinjut-hinjut menahan tangisan.
Iskandar tersentak. Hatinya terasa lain macam mendengar pertanyaan itu.
“Puas hati awak sekarang bila dah balas dendam? Puas?” tanya Luna lagi. Matanya kuyu memandang Iskandar.
Iskandar berpaling memandang Luna. Wajah yang basah dengan air mata bercampur air hujan itu dipandang sekilas sebelum dia dan orang upahannya beredar dari situ.
“Doa orang teraniaya pasti akan termakbul. Doa anak yatim piatu juga pasti akan termakbul,” ujar Luna sebelum Iskandar melangkah lebih jauh.
Entah kenapa malam itu, fikiran Iskandar tidak tenteram. Dalam fikirannya asyik terbayangkan wajah Luna. Suara Luna. Air mata Luna. Ketakutan Luna. Esakan Luna. Rayuan Luna. Semuanya Luna!
***
“Papa Is...” Isabella memanggil Iskandar perlahan.
“Apa?” tanya Iskandar sambil tangannya menyapu jem ke atas roti.
“Esok Papa Is hantar Bella pergi funfair boleh tak?”
Tangan Iskandar terhenti dari menyapu jem. Dadanya berdegup kencang tetapi dia cuba mengekalkan riak tenang.
“Bella nak buat apa dekat funfair?”
Isabella menunduk memandang pinggan di atas meja. “Bella... Bella nak jumpa kakak Luna. Semalam kakak Luna cakap dia tak sihat. Boleh tak Papa Is?”
Makin laju degupan jantung Iskandar tatkala nama Luna disebut. Serta merta wajah ketakutan gadis itu malam semalam terbayang di layar matanya. Iskandar memejamkan matanya sekejap untuk menghilangkan bayangan itu.
“Boleh tak Papa Is?”
Iskandar membuka matanya kembali. “Tengoklah dulu. Dah, kita dah lambat ni. Nanti Bella lambat pulak masuk tadika.” Iskandar terus bangun dan menanti Isabella di muka pintu.
Isabella mengeluh lemah. Dia mahu ke funfair esok. Dia mahu bertemu dengan kakak Luna!
***
Iskandar memarkir keretanya agak jauh dari tempat kebiasaannya Luna berniaga. Dari jauh lagi dia sudah nampak kelibat Luna dengan wajah yang ceria sedang melayan kanak-kanak yang inginkan belon yang dia jual. Entah apa yang merasuk Iskandar malam ini. Tiba-tiba sahaja dia datang ke funfair semata-mata ingin melihat Luna.
Gadis ini masih boleh ceria setelah apa yang aku lakukan padanya malam semalam? Terbit soalan itu di dalam hati Iskandar. Perlahan-lahan Iskandar turun dari keretanya dan melangkah ke arah satu tempat. Tempat yang membolehkan dia melihat Luna dari jarak yang dekat tanpa diketahui gadis itu.
Luna yang tidak sedar dirinya diperhatikan masih terus berniaga seperti biasa. Luarannya mungkin nampak ceria, tetapi di dalam hatinya tiada siapa yang tahu bertapa sakit dan pedih rasanya. Mana mungkin dia dapat melupakan persitiwa malam semalam dengan sekelip mata. Sampai bila-bila dia takkan melupakan peristiwa menakutkan itu.
“Kakak, saya nak beli semua belon yang kakak jual,” ujar seorang remaja lelaki yang munkin baru belasan tahun.
Dahi Luna berkerut. “Betul ke ni, dik?”
“Betul kak.”
Luna yang percayakan kata-kata remaja itu terus meleraikan semua ikatan belon pada tiang. Semua belon itu diserahkan kepada lelaki itu. Lelaki itu menyerahkan not seratus kepada Luna. Luna mencari duit baki di dalam bekas wangnya.
“Kak, ada orang bagi ni dekat kakak,” ujar lelaki itu. Kemudian dia menyerahkan sehelai kertas putih yang sudah dilipat dua.
Dahi Luna makin berkerut. Siapa pulak ni? “Siapa?”
Lelaki itu menggeleng dan terus melangkah pergi darinya sebelum sempat Luna menyerahkan duit baki. Dia hanya memerhati langkah lelaki itu tanpa lelaki itu sedari. Dapat dia lihat lelaki itu memberikan kesemua belonnya kepada lelaki lain. Dia tidak dapat melihat muka lelaki itu kerana muka lelaki itu sudah terlindung dek belon-belon.
Luna membuka lipatan kertas itu. Satu persatu persatu patah perkataan yang tertulis di atas kertas itu dibaca.
Maafkan saya pasal semalam. Saya tak bermaksud nak buat macam tu.
-Iskandar
Iskandar? Siapa Iskandar? Luna mengangkat muka. Cuba mencari lelaki yang membeli belon-belonnya. Dapat dia lihat seorang lelaki sedang memegang kesemua belonnya. Mata Luna berkaca memandang lelaki yang dibencinya. Tak mungkin wajah itu dapat dia lupakan. Wajah yang hampir-hampir meragut maruahnya!
Iskandar turut memandang Luna. Buat seketika mata mereka bertaut sehingga menimbulkan getaran di dalam hati Iskandar. Luna terus mengalihkan pandangan. Perasaan bencinya terhadap lelaki itu membuak-buak di dalam diri. Dia terus mengambil beg sandang dan melangkah ke arah Iskandar dengan berani.
Iskandar gelabah apabila Luna melangkah ke arahnya tetapi dia masih mengekalkan riak selamba.
Luna mencampakkan not seratus dan kertas itu ke muka Iskandar. “Saya tak perlukan duit yang datang dari orang yang jijik macam awak! Dan awak kena ingat, sampai saya mati pun saya takkan maafkan perbuatan awak!”
Belum sempat Luna berlalu, Iskandar terus menyambar lengan Luna. Tajam matanya memandang Luna. Cepat sahaja matanya dapat menangkap tampalan plaster berdekatan dengan bibir Luna yang merah itu. Terdapat kesan pecahan sedikit di bibirnya.
“Kalau ye pun tak nak maafkan aku, cakap tu tak reti baik-baik?” Iskandar turut membalas kasar. Dia takkan mengalah dengan seorang gadis!
Luna merentap tangannya. “Dengan orang macam awak ni tak layak cakap baik-baik! Awak ambik duit awak tu! Saya tak ingin pun!” Berapi-api matanya memandang Iskandar.
“Kau dah pandai melawan cakap aku.”
“Memang! Awak apa-apakan saya lagi malam ni, saya akan terus report pada polis!” ugut Luna dengan berani.
Iskandar tersenyum sinis. “Kau nak aku lakukan apa yang aku tak sempat lakukan semalam?” Sengaja Iskandar mendekatkan wajahnya ke telinga Luna.
Seluruh tubuh Luna menggeletar. Tidak dapat dia bayangkan jika peristiwa malam semalam berulang lagi.
“Pergi!” jerit Luna.
Iskandar menjauhkan diri dengan senyuman di bibir. “See you tomorrow.” Dan dia terus melangkah pergi.
***
Baru sahaja Iskandar memarkirkan kereta, dengan pantas Isabella keluar dari dalam kereta. Tidak sabar mahu bertemu dengan kakak Luna. Sudah seminggu dia tidak bertemu dengan kakak Luna. Nasib baik Papa Is mahu menemaninya ke sini.
“Kakak Luna!!!” jerit Isabella dari jauh dan terus menerpa ke arah Luna.
Luna tersentak. Dia tidak menyangkan Isabella akan datang hari ini. Luna tersenyum melihat Isabella yang sudah memeluk pahanya. Tapi senyumannya mati tatkala matanya dapat menangkap kelibat Iskandar yang segak dengan t-shirt Polo berwarna merah dan seluar jean hitam.
“Kakak Luna, jomlah kita pergi makan. Bella tak makan tengah hari lagi ni. Jomlah kakak, jomlah...” pujuk Bella sambil menghayunkan tangan Luna.
“Tak boleh sayang. Nanti siapa yang nak jaga belon-belon kakak?” Luna cuba menolak ajakan Isabella.
Mulut Isabella sudah muncung. “Kakak tak kesian dekat Bella ke? Bella lapar la kakak,” rengek Isabella manja.
Luna jadi serba salah hendak menolak ajakan Isabella tapi mana mungkin dia mahu makan bersama Isabella dan lelaki yang amat dibencinya itu!
“Jomlah Luna, kita makan sama-sama,” ajak Iskandar pula.
Luna pura-pura tidak dengar. Sakit hatinya mendengar suara itu. “Bella pergi makan dulu ye sayang? Nanti lepas habis makan, baru datang sini balik jumpa kakak. Boleh?”
“Kalau awak tak nak, saya beli jelah makanan bawak ke sini.” Iskandar pula yang menjawab.
Luna menjeling geram ke arah Iskandar. Aku tak cakap dengan kau la!
“Kakak... jom la makan,” pujuk Isabella lagi.
Luna tersenyum tawar. “Kakak teman makan je tau!”
Entah kenapa hati Iskandar lega apabila Luna memberi persetujuan. Mereka melangkah ke arah Honda Accord putih milik Iskandar. Luna berbelah-bahagi. Mahu duduk di hadapan atau di belakang? Kalau duduk di hadapan, dia tak rela duduk bersebelahan dengan lelaki durjana itu. Kalau duduk di belakang, nanti dianggap kurang sopan. Sudah la menumpang, nak buat macam kereta sendiri pulak!
“Masuk la.” Iskandar membukakan pintu kereta hadapan buat Luna. Luna menghela nafas berat sebelum masuk ke dalam kereta. Seketika kemudian kereta Iskandar sudah meluncur di atas jalan raya.
Iskandar yang sedang memandu sesekali melirikkan matanya ke arah Luna. Muka gadis itu masam mencuka sambil tangan berpeluk tubuh. Iskandar tersenyum kecil. Makin comel pula wajah Luna ketika marah pada pandangan Iskandar.
“Kita nak makan kat mana?” tanya Iskandar memecah kesunyian antara mereka.
Luna diam. Tidak mahu menjawab pertanyaan Iskandar. Dia benci mendengar suara itu apatah lagi mahu membiarkan matanya memandang wajah lelaki itu. Dia jijik!
“I talking to you.”
Luna masih diam.
Iskandar terasa kesabarannya seperti dicabar. Dia cuba berbaik dengan Luna tetapi gadis itu seperti sengaja ingin mencabar dirinya.
“Luna Batrisya!”
Luna melipat maut memandang Iskandar. Tajam matanya menikam lelaki itu. Matanya berapi-api menahan marah tetapi dia cuba menenangkan diri apabila teringatkan Isabella di tempat duduk belakang.
“Apa awak nak?” tanya Luna keras. Dia kembali berpaling memandang ke luar tingkap.
“Kita nak makan dekat mana?”
Luna berdecit. “Ikut suka la.”
“Tak ada restoran ikut suka dekat sini.”
Luna diam. Dia malas mahu menjawab. Dia malas ingin berbual dengan lelaki itu.
“Bella, kita nak makan dekat mana sayang?” Iskandar mengalah apabila Luna tidak mahu berbual dengannya. Dia bertanya kepada Isabella pula.
Isabella memeluk leher Luna dari belakang. Luna tersenyum. “Kakak Luna nak makan dekat mana?” Isabella pula yang mengambil alih bertanya kepada Luna.
“Kakak ikut je sayang. Lagipun Bella yang nak makan, bukan kakak.”
Huh! Boleh pulak cakap baik-baik! Kalau dengan aku, suara pun susah nak keluar, rungut Iskandar di dalam hati.
“Kalau macam tu kita makan dekat McD la Papa Is. Dah lama Bella tak makan burger McD. Boleh tak?”
Iskandar mengangguk. Dia membelokkan keretanya ke arah sebuah restoran makanan segera itu.
Dalam hati Luna berasa agak pelik. Kenapa Luna menggelar Iskandar sebagai Papa Is? Kenapa bukan papa sahaja? Bukankah Iskandar itu papanya? Atau Iskandar bukan papa sebenarnya? Luna malas mahu berfikir lagi. Dia terus keluar dari kereta apabila Iskandar sudah mematikan enjin kereta.
Isabella yang baru keluar dari kereta terus mencapai tangan Luna. Mereka jalan berpimpin tangan masuk ke dalam restoran makanan segera itu meninggalkan Iskandar keseorangan di belakang.
“Dengan Bella awak pimpinkan, dengan saya tak nak pimpinkan sekali ke?” usik Iskandar sambil berjalan beriringan dengan Luna dan Isabella.
Luna menjeling geram. “Kalau dah tua tu jalan la sendiri. Nak suruh orang pimpin pulak.”
Aik, sekali aku pulak terkena tempias tua. “Sorry sikit eh, umur saya baru masuk three series. Saham naik apa.”
Luna merengus kasar dan terus berjalan lebih laju memasuki restoran makanan segera itu.
Dahi Luna berkerut-kerut melihat menu yang terpampang. Satu pun dia tidak faham. Percaya atau tidak, selama dua puluh tiga tahun dia hidup di atas muka bumi ini, sekali pun dia tidak pernah makan di restoran makanan segera seperti ini. Hidup sebagai anak yatim piatu membuatkan dirinya sentiasa berjimat-cermat dalam hidup dan tidak terlalu bergantung kepada orang. Akhirnya setelah pening melihat menu makanan, Luna terus memimpin tangan Isabella menuju ke arah sebuah meja kosong.
“So, awak nak makan apa? Nanti saya orderkan,” ujar Iskandar yang baru sahaja sampai.
Luna terdiam sejenak. “Awak order je la apa-apa. Saya tak reti,” jawab Luna jujur.
“Tak reti?” tanya Iskandar pelik.
“Saya tak pernah makan kat tempat macam ni. Saya tak tahu.”
Iskandar memandang Luna dengan pandangan yang pelik. Tak pernah? Biar betul!
“Takpelah, saya orderkan nanti. Bella nak Happy Meal macam biasa ke?” tanya Iskandar.
Isabella mengangguk laju. Iskandar terus berlalu dan beratur untuk memesan makanan. Lima belas minit kemudian, dia kembali dengan sebuah dulang yang penuh dengan makanan. Iskandar tidak terus duduk tetapi dia kembali ke kaunter dan mengambil lagi sebuah dulang yang berisi air.
“Wah... banyaknya makanan. Papa Is ni memang banyak makan betul la kan kakak?”
Luna sekadar tersenyum tawar mendengar pertanyaan Isabella. Dia mencapai cawan kertas yang berisi minuman ringan itu. Dia menyedur air itu perlahan-lahan sambil menggigit straw. Dia hilang punca untuk bersuara apabila Isabella begitu asyik dengan set Happy Meal-nya.
“Ni awak punya. Saya tak tahu awak suka makan apa, jadi saya beli je burger ayam ni. Awak makan ayam kan? Kalau tak makan, saya boleh beli lain,” ujar Iskandar apabila melihat Luna hanya menyedut air sahaja.
Luna tersenyum kelat. Dia mencapai burger yang Iskandar hulurkan. Dia tiada selera untuk makan bila Iskandar duduk berhadapan dengannya. Burger itu diletakkan di atas meja. Hanya membiarkan matanya sahaja yang menjamah kotak burger itu.
Iskandar mengeluh lemah. “Kenapa tak makan?”
Luna buat tidak dengar. Dia menarik air di atas meja dan bawa ke bibir.
“Luna...”
“Saya tak suka orang sibuk hal saya.” Luna menjawab tegas.
Iskandar meletakkan burger yang tinggal separuh ke dalam kotaknya kembali. Seleranya mati melihat perangai degil Luna. Arghh, dia jadi macam ni pun sebab aku!
“I’m sorry about that day. Saya tak berniat nak buat macam tu. Saya berniat nak gertak awak je. Saya tak tahu boleh jadi... jadi macam tu...” ujar Iskandar tergagap-gagap.
Luna diam. Dia hanya menunduk ke bawah.
“Kakak, nak aiskrim,” pinta Isabella yang tidak mengerti apa yang dibincangkan Iskandar dan Luna.
Luna mencapai McFLurry Oreo yang kian mencair di atas meja. Aiskrim itu disuap perlahan ke dalam mulut Isabella.
“Kenapa kakak tak nak makan?” tanya Isabella apabila melihat burger milik Luna masih belum disentuh.
Luna tersenyum. Dia mengambil sehelai tisu di atas meja dan mengelap tepi bibir Isabella yang comot terkena aiskrim. “Kakak kenyang lagi. Nanti kakak makan, okey?”
Isabella mengangguk. “Kakak... nanti boleh tak kalau kita makan sama tiap-tiap hari?” pinta Isabella dengan wajah yang mengharap.
Luna mengusap kepala Isabella. “Nanti Bella makan la dengan mama pulak. Kesian mama, Bella tak ajak dia makan sekali.”
Wajah Isabella bertukar riak. “Bella tak ada mama...”
Luna terdiam sebentar. Patutlah... “Kakak minta maaf. Kakak tak tahu.” Luna memandang Iskandar yang turut berubah air mukanya. “Saya minta maaf. Saya tak tahu isteri awak dah tak ada.”
Iskandar tersenyum pahit. “Saya tak kahwin lagi...”
Dahi Luna berkerut. Tak kahwin lagi? Habis tu Bella ni anak siapa? Anak patung? “Hah? Saya tak faham la.”
Iskandar tersenyum sumbing. “She’s my niece. Anak kepada adik perempuan saya. Adik saya kemalangan dengan suami dia waktu dia orang dalam perjalanan balik ke rumah dari hospital. Baru seminggu selepas Isabella lahir. My parents dua-dua tak setuju waktu adik saya nak kahwin. Sebab tu dia orang tak nak mengaku Isabella ni cucu dia orang. So, nak tak nak, saya yang kena jaga Isabella walaupun waktu tu saya baru dua puluh enam tahun. Bayangkan, zaman berfoya-foya pun tak habis lagi, saya dah kena jaga anak orang. Sampai Bella dah tujuh tahun ni pun saya la yang jaga.” Dia tersenyum pahit.
Luna mengangguk-angguk tanda faham. “Sorry...”
Iskandar mengeluh perlahan. “Dah la, jom balik.” Iskandar terus melangkah pergi.
Luna dan Iskandar dengan cepat mengikuti langkah Iskandar dari belakang. Dalam hati timbul rasa kesal di hati Luna kerana membuka cerita tentang mama Isabella di hadapan Iskandar.
***
Iskandar menurunkan tingkap keretanya. Cermin mata hitam sengaja tidak dibuka. Dia tidak mahu diketahui bahawa dia sedang mengintai seseorang. Entah apa yang terjadi kepada Iskandar sejak kebelakangan ini. Sejak kejadian malam itu sebulan yang lepas, Iskandar pasti akan datang ke funfair setiap hari selepas tamat waktu kerja. Rutinnya hanyalah untuk melihat Luna dari jauh tanpa pengetahuan gadis itu.
Walaupun tidak bersua muka, tidak bertentang mata, tidak saling berbicara, tetapi bagi Iskandar, melihat Luna dari jauh juga sudah lebih dari cukup untuknya. Dia senang melihat telatah Luna, dia senang melihat senyuman Luna, dia senang mendengar ketawa Luna. Segala-galanya yang ada pada Luna amat menyenangkannya!
Wangian leher Luna seperti terbau-bau di rongga hidungnya. Mana mungkin dia dapat membau wangian itu lagi kerana Luna betul-betul membenci dirinya. Argh, dari awal lagi memang semuanya salah aku!
“Abang, nah belon.”
Suara seorang remaja lelaki mematikan lamunannya. Seperti biasa, terdapat banyak belon-belon di tangan lelaki itu. Belon-belon itu bertukar tangan dan lelaki itu terus melangkah pergi. Iskandar tersenyum sambil melepaskan tali belon-belon itu dari tangannya. Begitulah rutinnya setiap hari. Iskandar akan membeli kesemua belon-belon yang Luna jual dan belon-belon itu kemudiannya dilepaskan ke udara.
Luna mendongak ke langit melihat banyak belon yang berterbangan di udara. Dia tersenyum sendiri. Setiap hari dia perhatikan, pasti ada seorang remaja lelaki yang membeli kesemua belonnya. Dan seketika kemudian, pasti akan ada banyak belon-belon yang berterbangan di udara. Pada mulanya Luna agak pelik, tapi lama-lama dia dia faham apabila ternampak kelibat kereta Iskandar yang terletak agak jauh dari tempatnya berniaga. Setiap hari Luna nampak kereta itu di situ pada waktu petang.
Hendak kata dia suka dengan kehadiran Iskandar, tidak juga. Nak kata dia bencikan Iskandar lagi, ada la sikit. Luna terus melangkah ke arah kereta Iskandar. Cermin kereta itu diketuk perlahan.
Iskandar terkejut melihat wajah Luna di luar. Dia perasankah aku di sini? Perlahan-lahan Iskandar menurunkan tingkap keretanya. Cermin mata hitam dibuka. Luna menundukkan badannya sedikit agar dia dan Iskandar bertentang mata.
“Tak baik membazir untuk belon saya tiap-tiap hari. Lagipun awak selalu tak ambil baki duit,” ujar Luna selamba.
“Apa... apa awak cakap ni?”
Luna tersenyum manis sehingga menggetarkan jantung Iskandar. Lesung pipit yang berlekuk di kedua-dua belah pipi gadis itu seakan-akan menarik tangkai jantung Iskandar sekali. Manisnya senyuman Luna...
“Lain kali, tak payah membazir lagi. Dah la, saya nak balik. Assalamualaikum.” Luna terus melangkah meninggalkan kereta Iskandar.
Iskandar terus menghidupkan enjin keretanya. Dia menekan minyak perlahan dan keretanya kini beriringan dengan Luna yang berada di kaki lima jalan.
“Naik la. Saya hantarkan sampai ke rumah,” ajak Iskandar ikhlas.
Luna menggeleng. “Saya boleh balik sendiri,” ujarnya tanpa sedikitpun berpaling memandang Iskandar.
“Susah nak cari bas dah senja macam ni.” Iskandar mencipta alasan.
“Selalunya malam-malam pun saya balik naik bas jugak. Ada je bas. Sejak bila pulak senja-senja susah nak cari bas?” perli Luna.
“Tak elok anak dara jalan sorang-sorang waktu senja. Tak selamat.” Tidak putus-putus Iskandar memberi alasan.
“Kalau jalan malam-malam pun belum tentu lagi selamat. Kalau dah ditentukan saya nak kena culik ke, nak kena pukul ke, tak kira siang atau malam pun boleh jadi jugak,” perli Luna dengan sinis.
Iskandar terus keluar dari tempat pemanduan. Lengan Luna dicapai agar gadis itu berhenti berjalan. Luna dengan berani merenung tajam anak mata Iskandar dengan penuh kebencian. Baru sebentar tadi mereka bersembang seperti biasa, tapi entah kenapa perasaan benci itu tiba-tiba kembali apabila dia melalui kawasan semak yang tidak dapat dia lupakan sampai bila-bila.
“Awak jangan berani-berani nak sentuh saya lagi! Ingat tu!” Luna terus merentap tangannya kembali dengan kasar. Matanya sudah mula berkaca-kaca.
“Kenapa ni?” Iskandar berpura-pura tanya. Dia tahu kenapa gadis itu tiba-tiba marah tetapi dia sengaja ingin menutup kesalahan diri sendiri. Iskandar memegang bahu Luna. “Tadi okey je. Kenapa tiba-tiba marah?”
Luna menepis tangan Iskandar di bahunya. Dia membuang pandang ke arah lain sambil berpeluk tubuh.
Iskandar mengeluh berat. “Saya minta maaf pasal hari tu. Saya betul-betul tak berniat. Saya tahu awak marahkan saya.”
Mata Luna merenung anak mata Iskandar. Hati Iskandar tersentuh tatkala mata yang berkaca-kaca itu sudah mula menitiskan air mata.
“Kalau awak tahu, kenapa awak buat saya macam tu, Is?” tanya Luna perlahan.
“Saya... saya tak sengaja. Saya minta maaf. Saya tahu tindakan saya melampau. Saya minta maaf.” Berulang-ulang kali Iskandar memohon maaf. Tangan Luna dicapai semula.
Luna terus menarik tangannya dari pegangan Iskandar. “Tak pernah ada seorang lelaki pun yang pernah sentuh saya macam yang awak lakukan. Saya benci awak Is! Saya benci bila awak sentuh saya!” ujar Luna dengan teresak-esak.
“I’m sorry. I’m so sorry,” ujar Iskandar kesal.
Luna mengelap air matanya dengan kasar menggunakan belakang tapak tangan. “Jangan ganggu saya lagi.” Luna terus berlalu pergi meninggalkan Iskandar.
Iskandar mengeluh lemah. Walau apa pun yang terjadi, dia harus berusaha untuk membuatkan Luna memaafkan dirinya. Kerana Iskandar yakin, hatinya kini sudah terpaut kepada gadis yang bernama Luna Batrisya itu!
***
Iskandar gelisah seperti cacing kerawit di dalam keretanya. Sudah dua hari berturut-turut dia tidak nampak kelibat Luna di funfair itu. Dia tidak tahu ke mana Luna menghilangkan diri. Sakitkah dia? Terbit soalan itu di dalam hati Iskandar. Kalau betul Luna sakit, akan dia usahakan untuk mendapat alamat rumah gadis itu. Tapi, mahukah Luna bertemu dengannya?
Iskandar terus memecut keretanya pulang ke rumah dengan fikiran yang runsing. Sampai sahaja di rumah, dia terus menerpa masuk ke dalam rumah banglo dua tingkat itu.
“Bella... Bella... sini kejap sayang,” jerit Iskandar sambil merungkaikan ikatan tali leher yang menjerut lehernya.
“Tuan udah pulang?” tanya bibik dari dapur.
“Bella mana, bik?” Iskandar bertanya.
“Tadi non Bella lagi di atas. Bentar ya tuan, saya panggilkan.”
“Tak perlu, bik. Saya sendiri naik.” Iskandar terus mendaki anak tangga ke tingkat atas. Pintu bilik Isabella diketuk dan dia terus masuk.
“Papa Is dah balik!” Isabella terus menerpa ke arah Iskandar dan memeluk kaki lelaki itu.
Iskandar mengusap kepala Isabella. “Bella... Bella ada nombor kakak Luna tak?”
“Ada. Baru je tadi Bella cakap dengan kakak Luna,” ujar Isabella seraya melepaskan kaki Iskandar.
“Bella cakap apa dengan kakak Luna?” tanya Iskandar cuba mencungkil rahsia.
“Bella cakap yang Bella rindukan kakak.”
Argh, Papa Is pun rindukan kakak Luna juga! Jerit hati Iskandar.
“Lagi?”
“Lepas tu kan Papa Is...” Isabella terdiam. Air mukanya turut berubah.
“Lepas tu apa Bella?” tanya Iskandar tidak sabar.
“Papa Is... Bella sayang kakak Luna. Bella nak kakak Luna tinggal dengan kita. Bella nak kakak Luna jadi mama Bella. Boleh tak Papa Is?”
Iskandar menarik Isabella ke dalam pangkuannya. Ubun-ubun kanak-kanak kecil itu dicium. “Kenapa Bella cakap macam ni sayang?”
“Kakak Luna cakap... kakak Luna nak pindah. Kakak Luna cakap, dia nak pergi jauh.” Begitu jujur Isabella berkata-kata dengan tangisan.
Iskandar tersentak. Jantungnya berdegup kencang. Betulkah apa yang aku dengar ni? “Bella... mana Bella tau ni?” Bergetar suara Iskandar bertanya.
“Kakak Luna yang bagitahu Bella tadi. Tapi kakak Luna kata, walaupun dia dah tak ada dekat sini nanti, dia tetap akan sayang Bella.”
Iskandar segera menahan gelora di hatinya. “Bella bagi telefon Bella dekat Papa Is sayang.”
Isabella terus mencapai telefon bimbit yang Iskandar hadiahkan kepadanya. Telefon bimbit itu diserahkan kepada Iskandar. Iskandar terus melangkah keluar dari bilik tidur Isabella dan terus masuk ke dalam biliknya. Dia duduk di birai katil. Nombor telefon Luna dicari dan didail. Tidak sampai seminit, talian sudah diangkat.
“Assalamualaikum sayang...” Luna bersuara di hujung talian.
Iskandar terasa seperti berada di awang-awangan tatkala Luna memanggilnya ‘sayang’ meskipun panggilan itu bukanlah dituju kepadanya. Indah sungguh jika panggilan itu benar-benar dituju kepadanya. Akan dia rasa seperti orang yang paling bertuah atas muka bumi ini!
“Waalaikumussalam.” Iskandar menjawab perlahan.
Luna terdiam di hujung talian. Dia tahu itu bukan suara Isabella. Dia kenal suara itu milik siapa.
“Luna...” Iskandar memanggil namanya lembut.
“Saya minta maaf, Is. Saya ingat tadi Bella yang call.”
Iskandar tersenyum. “Tak apa. Saya tak marah. Kalau awak nak panggil saya sayang tiap-tiap hari pun saya tak kisah. Suka lagi ada la!” usik Iskandar meskipun kata-kata itu benar.
Luna hanya tersenyum kelat. “Awak nak apa ni?”
Iskandar terdiam. Dia cuba menyusun ayat yang sesuai agar tidak disalah tafsirkan oleh Luna.
“Errr... tadi... Bella ada cakap sesuatu tentang awak.”
“Tentang?”
“Tentang... awak nak pindah. Is it true?” tanya Iskandar perlahan.
Kedengaran Luna mengeluh di hujung talian. Lama talian itu sepi tanpa suara dari kedua-dua belah pihak. Luna hanya mendiamkan diri sahaja.
“Luna, I’m asking you.” Iskandar berkata tegas.
“Memang betul. Ada masalah dengan awak ke?” Sinis Luna bertanya.
“Salah saya ke? Saya minta maaf kalau awak rasa tak selesa bila saya datang tengok awak tiap-tiap hari. I’m sorry. Tapi takkan sebab tu awak nak pindah? This is ridiculous!” bentak Iskandar.
“Hal ni tak ada kena mengena dengan awak.” Tegas Luna bersuara.
Iskandar mengeluh berat. “Don’t you think we need to talk?”
“Iskandar...” Luna tak dapat meneruskan kata-katanya.
“Luna, you can’t do this to me.”
“Is, saya ada hak nak tentukan keputusan yang saya rasa baik untuk diri saya.”
“Dengan tinggalkan saya? Macam tu? Itu yang awak rasa terbaik untuk awak?” Bertalu-talu Iskandar mengasak Luna dengan soalan.
“Iskandar... saya...” Luna tak dapat menghabiskan ayatnya.
“I’ll do anything to have you by my side. Anything Luna.” Tekad Iskandar.
Mata Luna membulat. “Iskandar!”
“Saya tau saya salah. Tapi itu dulu. Dulu saya ego. Tapi saya sanggup rendahkan ego saya semata-mata untuk awak. Saya suka awak. Saya sayang awak.” Iskandar berhenti sekejap. “Saya cintakan awak.”
Luna terkaku di hujung talian. Lidahnya menjadi kelu.
“Luna?”
Tutttttt.... Hanya itu yang kedengaran di hujung talian. Luna telah mengambil jalan mudah dengan mematikan talian. Dia terlalu terkejut. Dia tidak menyangka akan mendapat kejutan sebegini.
Iskandar memandang lama telefon bimbit milik Isabella. Dia tersenyum. Sekali saya cakap saya suka awak Luna, saya akan tetap suka sampai bila-bila...
***
Luna yang sedang mengemas baju-bajunya malam itu terhenti apabila terdengar bunyi ketukan pintu di luar flatnya. Dia terus melangkah ke arah pintu dan daun pintu dibuka. Dahinya berkerut apabila tiada siapa di luar rumahnya. Yang ada hanyalah sebuah belon berbentuk hati berwarna merah hati diikat pada sebiji batu serta sebuah permainan kereta alat kawalan jauh di hadapan pintu rumahnya. Pada tali belon itu terdapat sekeping kertas berwarna merah jambu yang telah dilekatkan di situ.
Luna memandang ke kanan dan ke kiri. Mungkin ada anak-anak jiran yang ingin mempermainkannya. Setelah memastikan tiada sesiapa di situ, Luna mencapai kertas berwarna merah jambu itu. Rambut panjangnya yang jatuh menjurai di dahi diselitkan di belakang telinga.
Do you trust me, my love? If yes, please follow this car. And if no, can you please lend me your trust, sayang?
-Iskandar
Luna tergelak kecil. Persoalan di mana Iskandar tahu kedudukan rumahnya tidak dipedulikan. Apabila kereta kecil itu sudah mula bergerak, Luna dengan pantas menutup pintu rumahnya dan mengekori kereta alat kawalan jauh itu.
Kereta kecil itu sudah mula menuruni anak-anak tangga. Luna hanya mengekori kereta kecil itu sahaja sehinggalah kereta kecil itu berhenti di hadapan sebuah lagi belon berbentuk hati berwarna jingga pula. Berdekatan belon itu terdapat sebuah kereta Mercedes hitam sedang menunggu. Tanpa menunggu lagi, Luna terus mengambil kertas yang terlekat pada tali belon itu.
Luna Batrisya, sila naik kereta Mercedes hitam berdekatan dengan awak kalau awak percayakan saya. Kalau awak tak percaya, operatelah dada, x-raylah hati saya.
-Iskandar
Kali ini tanpa dapat ditahan, Luna terus tergelak. Macam-macam la Iskandar ni! Tanpa berlengah lagi, Luna membuka pintu kereta Mercedes hitam itu tanpa ragu-ragu. Dia tersenyum apabila melihat kelopak-kelopak bunga mawar merah ditabur di tempat duduk belakang itu berserta dengan sekeping kertas berwarna kuning cair dan kain juga warna yang sama. Luna terus masuk ke dalam kereta dan mencapai kertas itu.
Tutup mata dan bermimpilah...
-Iskandar
Tanpa berfikir panjang, Luna terus mengambil kain itu dan mengikat kain itu di matanya sehingga dia tidak dapat melihat apa-apa. Luna tersenyum sendirian apabila dia merasakan kereta itu sudah mula bergerak. Entah apa yang meyakinkannya agar mengikut sahaja arahan-arahan Iskandar. Yang pasti, perasaan ingin tahunya melonjak-lonjak apabila Iskandar cuba untuk bermain ‘teka-teki’ dengan cara yang sangat romantik.
Kereta sudah berhenti bergerak. Dapat Luna dengar bunyi pintu kereta dibuka. Dia ingin membuka ikatan di matanya tetapi ada tangan yang menghalang.
“Iskandar?” tanya Luna.
“Trust me.” Hanya itu yang dijawab.
Luna kenal itu suara Iskandar. Dia hanya membiarkan tangannya dipegang Iskandar. Dia hanya mengikuti sahaja langkah Iskandar walaupun dia sendiri tidak tahu dia berada di mana sekarang ini.
Iskandar melepaskan tangan Luna. Dia membiarkan sahaja Luna berdiri di situ.
“Is, kita dekat mana?” Luna bertanya apabila tangannya dilepaskan.
“Dulu... Allah pernah hilangkan matahari dari pandangan saya lalu dia turunkan petir dan kilat. Saya menangis-nangis mencari mana perginya matahari, rupa-rupanya... Allah nak bagi saya pelangi.”
Iskandar berbisik di telinga Luna seraya membuka ikatan di mata gadis itu. Luna terpegun melihat kawasan funfair itu penuh dengan belon-belon berbentuk hati dan bermacam-macam warna. Tali belon itu diikat pada sebiji batu dan diletakkan di atas tanah agar belon itu tidak terbang malah hanya terawang-awangan di udara. Kawasan itu juga penuh dengan cahaya lampu yang menerangi malam. Sangat cantik sehingga membuatkan lidahnya menjadi kelu!
Luna berpusing melihat seluruh kawasan funfair yang kosong tanpa ada manusia lain kecuali mereka berdua di situ. Tangannya menyentuh belon-belon yang berada di sekelilingnya. Buat seketika dia lupa pada Iskandar yang masih ada di situ. Dia suka melihat belon-belon yang terapung-apung di udara itu.
“Cantiknya Is... saya suka!” kata Luna seraya memusingkan badannya. Senyumannya mati apabila Iskandar tiada lagi di situ.
“Is? Awak kat mana?” Mata Luna liar memandang sekeliling untuk mencari kelibat Iskandar. Luna takut jika dia ditinggalkan bersendirian di funfair ini pada malam hari.
Tiba-tiba bunyi petikan gitar kedengaran. Luna tersenyum apabila Iskandar melangkah ke arahnya dengan sebuah gitar di tangan. Iskandar memetik gitar sambil berjalan mengelilinginya.
“Aku takkan lelah menunggu hingga waktu ajal menjemputku, takkan pernah ada sesalku untuk menunggumu. Aku harus tetap menunggu hingga nanti aku berbaring sampai mati aku akan tetap menunggumu.”
Apabila Iskandar sudah mula menyanyi, Luna hanya menekupkan tangannya pada mulut. Dia berasa terharu melihat kesungguhan Iskandar terhadapnya.
“Inginku gapai bulan dan kupetik bintang. Inginku berikan semua hanya untukmu, agar kau tahu besarnya cintaku kepada dirimu. Kuingin kau tahu tentang perasaanku. Kuingin kau tahu besar cinta padamu. Inginku berikan sisa waktuku dan sisa umurku sampai mati.”
Luna menundukkan wajahnya. Air matanya jatuh membasahi tanah yang kering. Iskandar menaikkan dagu Luna. Jari-jemari kasarnya menyeka air mata di pipi Luna.
“Kenapa menangis ni, hmm?” Iskandar bertanya perlahan.
Luna menepis perlahan tangan Iskandar yang cuba mengusap pipinya. Wajahnya sudah merah kerana berada terlalu rapat dengan Iskandar. “Kenapa awak buat semua ni, Is?”
“Sebab saya cintakan awak.” Iskandar berterus terang.
Wajah Luna makin memerah. “Jangan main la Is...”
“Saya tak pernah main tentang perasaan saya, Luna.” Iskandar berkata tegas.
Luna menunduk kembali. “Tak ada apa-apa pada saya Is. Saya anak yatim piatu. Tak ada rupa apatah lagi harta. Saya hanya seorang penjual belon. Sedangkan awak? Saya tak sesuai nak digandingkan dengan awak, Is. Ini bukan cerita dongeng Cinderella. Enggang dengan pipit sampai bila-bila takkan dapat terbang bersama, Is. Awak kena faham. Awak dari keturunan yang baik-baik, sedangkan saya? Saya sendiri pun tak tahu. Ramai lagi perempuan-perempuan dekat luar sana tu lagi sesuai dengan awak, Is. Cari yang sama taraf dengan awak. Jangan cari orang yang macam saya ni.” Luna sudah kembali sebak.
Iskandar memegang kedua-dua belah tangan Luna. Luna mengangkat kepala memandang wajah Iskandar.
“Kenapa awak nak membezakan taraf antara awak dengan saya? Saya manusia, awak pun manusia. Kita sama-sama dicipta dari tanah. Taraf kita sama.” Iskandar memujuk lembut.
“Is, awak faham maksud saya...”
“Kenapa? Awak nak kata yang awak ni anak yatim piatu jadi awak tak layak nak digandingkan bersama saya? Atau awak nak mencipta jurang antara kita menggunakan alasan taraf harta kekayaan kita? Macam tu? Luna Batrisya, dengar sini. Cinta tak mengenal usia, apatah lagi kerjaya. Saya suka awak seadanya. Saya sayang awak seadanya. Saya cintakan awak seadanya. Tak ada apa-apa yang membezakan taraf awak dengan saya. Awak dah cukup sempurna bagi saya. Tak ada kurang sikit pun. Malah saya rasa, saya yang tidak layak jika nak digandingkan dengan gadis seperti awak.”
“Is...” Luna tak dapat meneruskan kata-katanya apabila jari telunjuk Iskandar menekan bibirnya.
“Sekali saya cakap cinta, saya akan tetap cintakan awak sampai bila-bila, Luna.”
Luna terdiam.
“Saya tau ini terlalu cepat, tapi...” Iskandar tidak meneruskan kata-katanya tetapi dia mencapai sebuah belon berbentuk hati di sebelah Luna. Belon itu dipecahkan menggunakan jarinya sehingga membuatkan Luna tersentak.
Mereka berdua memandang ke bawah apabila terdengar bunyi seperti syiling terjatuh. Iskandar sudah melutut di hadapan Luna. Sebentuk cincin yang berada di tanah diambil. Cincin itu dipegang dengan wajah yang mengharap.
“Saya harap awak terima jika saya nak lamar awak menjadi isteri saya.”
Mata Luna membulat. Dia menutup mulutnya menggunakan tapak tangan. Semuanya berlaku dalam satu masa. Dia terkejut yang bukan sedikit!
“Iskandar, cepatnya!”
Iskandar tersenyum. “Saya dah tak tahan la, Luna. Tiap-tiap malam saya asyik teringatkan awak. Saya tak nak kehilangan awak. Saya nak awak sentiasa ada di sisi saya.”
Wajah Luna sudah merah padam.
“So, will you marry me?” Wajah Iskandar penuh mengharap.
“Kalau saya cakap tak?” Luna cuba menguji hati lelaki ini.
“Sampai tua saya tak nak kahwin.”
Luna tergelak kecil. “Kalau saya terima, apa yang saya dapat?”
“Yang pasti, awak dapat seluruh cinta saya tanpa berbelah-bahagi. Untung, kan?” Iskandar tersenyum nakal.
“Eii, siapa nak cinta awak tu?” Luna mengalihkan pandangannya dari memandang wajah Iskandar.
“Untung tau kalau dapat cinta saya. Bukan sebarangan orang saya bagi tau!” Bersungguh-sungguh Iskandar berkata.
Luna tergelak.
“Awak, bila nak bagi jawapan ni? Sakit lutut saya dari tadi asyik melutut,” rungut Iskandar.
Luna menjegilkan matanya. “Eii, tak romantik langsung! Baru melutut kejap dah merungut.”
Iskandar tersengih. “Awak terima tak ni?”
Luna berpura-pura sedang berfikir. Dia mengusap dagu, konon sedang berfikir. Iskandar sudah mula gelisah apabila Luna masih belum mahu memberikan jawapan.
“Ermmm... sebenarnya saya ragu-ragu lagi...” ujar Luna. Iskandar sudah mula muram. “Tapi...” Cincin yang Iskandar sedang pegang terus diambil. “Masih boleh dipertimbangkan!” Luna terus menyarungkan cincin itu pada jarinya dan lari dari situ.
Iskandar terus bangun dan mengejar Luna dengan senyuman. “Luna Batrisya! Nak lari ke mana tu?”
Luna berhenti berlari dan memusingkan badannya. Dia menjelirkan lidah kepada Iskandar yang sudah menghampirinya. Iskandar terus mencapai tangan Luna. Dia menarik tangan Luna agar mengikuti langkahnya.
“Eh, eh, kita nak pergi mana ni?” tanya Luna.
Iskandar tersenyum nakal. “Kita pergi jumpa tok kadi lepas tu boleh saya bawak awak balik rumah saya terus!”
Luna terus menarik balik tangannya. Mukanya sudah merah menahan malu. “Mengada la! Dah, hantar saya balik.”
“Balik rumah kita ke sayang?” usik Iskandar.
Luna membulatkan matanya. Tangannya pantas mencubit pinggang Iskandar. “Awak usik saya lagi, saya tak jadi nak kahwin dengan awak tau!”
“Okey okey, saya janji tak usik awak lagi. Ala, kahwin la dengan saya ye?” Iskandar cuba memujuk.
Luna sedaya upaya cuba menyembunyikan senyumannya. Dia terus melangkah ke arah kereta Iskandar yang terletak tidak jauh dari situ. Luna terus masuk ke dalam kereta. Iskandar juga masuk ke tempat pemandu.
“Jangan batalkan perkahwinan kita ye? Kesian saya nanti tak kahwin sampai tua.” Iskandar masih lagi cuba memujuk.
Luna tergelak kecil akhirnya. “Yelah, nanti kahwin!”
“Tau pun sayang dekat saya,” usik Iskandar lagi
“Eii, siapa sayang awak?”
“Awak la!”
Makin dilayan makin menjadi-jadi Iskandar ni. Tak kuasa aku nak melayan perangai budak-budak dia tu. Tapi yang penting, aku rasa macam ada belon-belon dalam hati aku! Belon-belon yang berwarna-warni yang menerangi hati aku. Indahnya rasa bercinta!
***TAMAT***